KUALA LUMPUR: Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan menyambut baik langkah kerajaan mewajibkan kursus integriti dan antirasuah di institusi pengajian tinggi (IPT) bermula tahun depan.

Langkah itu dilihat beliau dapat sedikit sebanyak membantu usaha menangani korupsi di negara ini, bagaimanapun keberkesanannya untuk merawat penyakit yang sudah menjadi budaya ini tidak bergantung padanya sahaja.

Tegas Muhammad, ia memerlukan penglibatan yang menyeluruh dari setiap pihak terutamanya di peringkat asas perkembangan seseorang manusia - di rumah dan di sekolah.

“Ia tidak boleh memberi jaminan bahawa dalam masa lima atau 10 tahun mendatang rasuah dalam kalangan belia akan berkurangan, kerana ramai juga yang tidak masuk universiti, ada yang masuk bidang-bidang lain atau terus bekerja.

“Jadi, balik kepada asalnya adalah, kerajaan perlu juga melihat isu ini secara holistik di mana ia berbalik kepada peringkat sekolah.

“Maksudnya, tidak semestinya ada kurikulum khas antirasuah dan integriti tetapi kita kena ajar balik nilai-nilai murni kepada anak-anak kita,” katanya.

Beliau melihat anak-anak hari ini tidak mendapat bimbingan sebaik dahulu di mana guru dan ibu bapa bukan sahaja menekankan aspek akademik, tetapi lebih penting, sahsiah dan keperibadian yang baik.

BACA: Kursus Integriti dan Antirasuah di IPT pastikan pelajar cakna kesan rasuah - MPPK 

Maka bagi beliau, ibu bapa dan guru di sekolah yang paling perlu memainkan peranan dalam membentuk nilai murni seperti amanah, jujur, bertimbang rasa dan seumpamanya dalam diri anak-anak, ketika mereka berada di peringkat awal perkembangan menjadi seorang manusia.

“Misalnya, di sekolah dulu, kalau ada sampah di lantai, cikgu akan terus tegur. Begitu juga, saya ingat masa saya kecil, kalau kita buang sampah keluar kereta, bapa saya akan marah saya.

“Jadi, nilai-nilai ini juga kena kaji balik. Dan pengajaran sivik di sekolah rendah serta menengah juga perlu ditekankan,” ujarnya lagi.

Tonton temu bual penuh bersama Muhammad dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini:

Banteras rasuah dari akar, perkukuh sistem nilai dari sekolah dan rumah - TI-M